بسم الله الرحمن الرحيم
Pada asasnya, nilai murni adalah nilai bersifat universal yang menjurus kepada adab terpuji, peradaban dan tatasusila individu dalam kerangka perhubungannya dengan Tuhan, manusia dan alam. Perbincangan nilai murni cenderung membahaskan domain nilai substantif seperti agama, rohaniah, moral dan estetika yang mencetuskan stimulasi positif seperti ketenangan emosi, kedamaian pemikiran, jiwa yang bersih dan keluhuran akal budi manusia.
Nilai murni juga merangkumi set nilai yang terdiri daripada nilai instrumental, nilai mutakhir dan nilai integratif. Berdasarkan kepada penjelasan ini, dapatlah difahami bahawa unsur-unsur alam dan benda yang lain di luar kategori manusia, dianggap tidak mempunyai nilai murni.
Umumnya, nilai murni dari perspektif Islam berfungsi sebagai petunjuk dan memandu manusia ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan melalui pedoman wahyu. Nilai-nilai murni Islam lebih fokus kepada harmonisasi antara doktrin rabbani dan kemanusiaan untuk mencapai kejayaan hakiki dalam dimensi duniawi dan ukhrawi.
Nilai murni pada pandangan Islam bersifat alami dan diikat dengan doktrin agama. Individu yang menghayati nilai-nilai itu akan mendapat ganjaran kebaikan. Bagaimanapun, jika berlaku sebaliknya dengan nilai-nilai berkenaan, maka pelakunya akan mendapat dosa. Justeru, melihat kepentingan itu, manusia diingatkan supaya memperkaya dan melengkapkan diri dari aspek zahir dan batin dengan nilai-nilai yang positif.
Ini kerana, apabila keperluan rohaniah manusia dari aspek jasad dan roh tidak disantapkan dengan nilai luhur, ia boleh menyebabkan berlakunya kecacatan. Secara tidak langsung ia boleh merosakkan fungsi asal manusia untuk menjadi insan berkualiti. Meskipun pada zahirnya kelihatan jasad individu itu nampak sihat, dari aspek batiniahnya dijangkiti dengan penyakit yang boleh merosakkan jiwa. Akibatnya, timbullah sifat gelisah, marah, dendam, kecewa dan pelbagai lagi sifat tercela.
Kehidupan manusia perlu dibimbing dengan panduan wahyu supaya setiap tindakannya sentiasa bertepatan dengan tuntutan keagamaan dan selari dengan fitrah kemanusiaan. Manusia yang terpinggir dengan pedoman wahyu sering kali melanggar arahan dan peraturan agama serta bertindak di luar norma kemanusiaan demi memenuhi cita-citanya atas desakan hawa nafsu.
Sebaliknya, individu Muslim yang beriman sentiasa bertindak berasaskan nilai-nilai mahmudah yang diutarakan oleh Islam dan sentiasa berhati-hati dalam tindak-tanduknya. Golongan manusia sedemikian bukan saja mempunyai personaliti dan akhlak terpuji sesama manusia, malah pada masa yang sama, mereka juga memiliki adab yang baik dengan Allah S.W.T.
Sebagai individu mukmin yang baik, ia sentiasa mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan seperti berakhlak, bercakap benar, beramanah, akauntabiliti, mengutamakan pemuafakatan dan persefahaman, bertoleransi, menghormati hak orang lain dan sebagainya. Manusia yang bertakwa kepada Allah SWT sentiasa berhati-hati dan takut melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan syarak sama ada secara terang-terangan atau di luar pandangan manusia.
Ironinya, inilah keistimewaan dan keunikan sistem agama yang berteraskan turutan tauhid rabbani. Sistem ini dihormati dan diiktiraf oleh manusia atas sifatnya yang sejagat dalam memelihara keharmonian dan ketenteraman manusia bukan saja di alam dunia bahkan berkesinambungan di alam akhirat.
Meskipun nilai-nilai murni dilihat sebagai subjektif, mengetepikan nilai moral rohaniah akan menjadi pembangunan insan tidak bersifat holistik. Ini kerana, dengan mengabaikan nilai-nilai luhur yang mempengaruhi tingkah laku manusia ia akan memberi impak negatif kepada kerangka perhubungan manusia sesama manusia secara bersepadu. Selain itu, nilai murni yang bersumberkan nilai rohaniah menjadi formula terbaik untuk mendidik masyarakat mengenai nilai-nilai fitrah kemanusiaan yang murni, menyedarkan manusia mengenai hak dan tanggungjawab sosial lain.
الْقِيَمُ الْكَرِيْمَةُ
- Baik Hati ( حُسْنُ الْقَلْبِ )
- Berdikari ( إِكْتِفَاءٌ ذَاتِيُّ )
- Hemah Tinggi ( هِمَّةٌ عَالِيَةٌ )
- Semangat Bermasyarakat ( رُوْحُ الْمُجْتَمَعِ )
- Kerajinan ( إِجْتِهَادٌ )
- Keberanian ( شَجَّاعّةٌ )
- Kasih Sayang ( مَحَبَّةٌ )
- Kebersihan Fizikal dan Mental ( نَظَافَةُ الْجِسْمِ والْفِكْرَةِ )
- Kesederhanaan ( مُعْتَدِلُ الْحَالِ )
" Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu berbisik-bisik sesama sendiri, maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan derhaka kepada Rasulullah dan sebaliknya berbisiklah untuk berbuat kebajikan dan bertaqwa. Dan hendaklah kamu tetap bertaqwa kepada Allah yang kepadaNya kamu semua akan dihimpunkan (pada hari kiamat untuk dihitung amal kamu dan menerima balasan) "
BERSAMA KITA MEMARTABATKAN BAHASA ARAB